
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kelantan Red Warrior FC sah beraksi dalam saingan Liga Super musim 2026-2027 selepas dipilih mengisi kekosongan susulan keputusan PDRM FC menarik diri daripada pertandingan itu.
- Kelantan menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu di tangga ke-4.
- Kelab melengkapkan syarat ditetapkan termasuk kriteria kewangan, menunjukkan persediaan menghadapi saingan lebih tinggi.
- Mengatasi UM Damansara United dan Bunga Raya selepas kedua-dua pesaing memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.
- PDRM mengemukakan surat penarikan diri bagi memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kelab yang berpangkalan di Kota Bharu itu dipilih selepas melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan untuk dipromosikan ke Liga Super.
Kelantan Red Warrior FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu di tangga ke-4 dilihat lebih bersedia selepas melengkapkan syarat ditetapkan untuk beraksi dalam Liga Super musim 2026-2027.
Kelab itu mengatasi UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC yang turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada First Instance Body (FIB).
Bagaimanapun, Armed Forces FC tidak mengemukakan permohonan untuk bertanding dalam saingan Liga Super musim berkenaan.
PDRM FC pula mengemukakan surat rasmi penarikan diri kepada MFL semalam bagi memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
Penyertaan Kelantan Red Warrior FC melengkapkan senarai 12 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super musim 2026-2027.
Antara pasukan beraksi Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.