
PETALING JAYA, 16 Julai – Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai destinasi penutup bagi siri larian promosi ‘Asian Games Fun Run’ sempena Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang dijadual berlangsung esok di Sunway Lagoon.
- Program anjuran OCA untuk menyemarakkan kesedaran dan promosi Aichi-Nagoya 2026, melibatkan lebih 25 negara merentasi lima zon.
- Wakil OCA jangka edisi Malaysia mencatat penyertaan terbesar dengan lebih 1,000 peserta sebagai kemuncak siri jelajah.
- Persiapan kontinjen negara kini pada tahap paling intensif menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Malaysia dijangka menghantar 347 atlet, kontinjen keseluruhan 523 termasuk pegawai dan pasukan sokongan.
Program anjuran Majlis Olimpik Asia (OCA) itu bertujuan menyemarakkan kesedaran serta mempromosikan temasya sukan terbesar Asia, melibatkan lebih 25 negara merentasi lima zon di bawah naungan badan berkenaan.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Mohd Nasir Ali, berkata Malaysia berbangga dipilih sebagai lokasi penutup selepas siri jelajah tersebut bermula di Bhutan pada April 2025.
“Kita adalah negara terakhir dalam siri ini, mungkin kerana kesiapsiagaan kita sebagai penganjur. MOM amat menghargai peluang menjadi hos penutup untuk edisi kali ini,” katanya.
Sementara itu, wakil OCA, Jeans Zhou, menyifatkan pemilihan Malaysia berdasarkan rekod cemerlang dalam penganjuran acara sukan serta hospitaliti bertaraf antarabangsa.
Beliau turut menjangkakan edisi di Malaysia bakal mencatat penyertaan terbesar dengan lebih 1,000 peserta, sekali gus menjadi kemuncak sambutan bagi siri jelajah Aichi-Nagoya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nasir memaklumkan persiapan kontinjen negara ke Sukan Asia kini berada pada tahap paling intensif menjelang temasya yang akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.
Malaysia dijangka menghantar seramai 347 atlet, terdiri daripada 200 lelaki dan 147 wanita, dengan keseluruhan kontinjen mencecah 523 orang termasuk pegawai dan pasukan sokongan.
Daripada jumlah itu, 116 atlet diletakkan dalam Kategori A, manakala 231 lagi dalam Kategori B.
“Kita menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian enam pingat emas yang diraih pada edisi Sukan Asia Hangzhou 2022 sebelum ini,” katanya lagi.