
JOHOR BAHRU, 17 Mei – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan pelaksanaan model bayar untuk tontonan (pay perview) Liga Bola Sepak Malaysia sebelum dimuktamadkan.
- KBS akan meneliti cadangan pay per view termasuk kesan terhadap pembangunan bola sepak tempatan sebelum membuat keputusan.
- Tunku Mahkota Ismail mencadangkan model bayar untuk tontonan bagi mengembalikan bola sepak kepada rakyat dan memperkukuh kewangan liga.
- Isu desakan tarik balik kerakyatan tujuh pemain warisan diserahkan KBS kepada KDN dan FAM kerana di luar bidang kuasa kementerian.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya akan meneliti secara menyeluruh cadangan berkenaan termasuk kesan terhadap pembangunan bola sepak tempatan.
“Saya akan maklumkan keputusan mengenai cadangan berkenaan kemudian selepas perbincangan dan penelitian dilakukan,” katanya.
Beliau ditemui ketika menyaksikan tayangan skrin besar sempena perlawanan akhir Piala FA antara Manchester City dan Chelsea di
Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Dataran Bandaraya Johor Bahru. – RTM
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar diperkenalkan model bayar untuk tontonan sebagai
langkah strategik bagi mengembalikan bola sepak kepada rakyat serta
memperkukuh kewangan Liga Malaysia.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Mohammed Taufiq memaklumkan KBS menyerahkan sepenuhnya isu desakan agar menarik balik kerakyatan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Beliau berkata, perkara itu berada di luar bidang kuasa kementeriannya.