
LISBON, 2 Julai – Agensi kaji cuaca Portugal, Institut Laut dan Atmosfera Portugal (IPMA) mengeluarkan amaran merah bagi wilayah Lisbon, Setubal dan beberapa kawasan di utara negara itu berikutan gelombang haba ekstrem Eropah yang dijangka melonjakkan suhu sehingga 44 darjah Celsius bermula minggu ini.
- Amaran jingga dikuatkuasakan di wilayah pedalaman seperti Evora selepas suhu mencecah sekitar 41 darjah Celsius.
- Cuaca sangat panas dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya seminggu, dengan malam tidak turun di bawah 24 hingga 28 darjah Celsius.
- Kerajaan arahkan pihak berkuasa kenal pasti bangunan awam, tempat ibadat dan premis swasta sebagai tempat perlindungan sementara.
- Saintis menyifatkan gelombang haba kini antara paling teruk, hampir mustahil tanpa faktor perubahan iklim; beberapa negara Eropah pecah rekod suhu.
Menurut IPMA, amaran merah bagi kawasan pesisir pantai seperti Lisbon dan Setubal akan bermula pada Khamis sebelum diperluaskan ke wilayah Leiria dan Coimbra di bahagian utara pada Jumaat, menyaksikan suhu tempatan diramal mencecah tahap tertinggi.
Bagi wilayah pedalaman termasuk Evora, amaran jingga iaitu amaran kedua tertinggi telah dikuatkuasakan selepas suhu di kawasan berkenaan dilaporkan mula mencecah 41 darjah Celsius.
“Sepanjang tempoh cuaca yang sangat panas ini, perkara paling ketara ialah tempoh masanya yang dijangka berlarutan sekurang-kurangnya untuk seminggu.
“Kawasan pesisir pantai juga akan menjadi lebih panas berikutan ketiadaan bayu laut, manakala suhu pada waktu malam mungkin tidak akan turun di bawah 24 hingga 28 darjah Celsius,” menurut IPMA dalam satu kenyataan.
Tinjauan di bandar bersejarah Evora mendapati jalan-jalan utama mula lengang pada waktu petang berikutan cuaca terik, dengan sebilangan besar pelancong memilih untuk berlindung di dalam kafe dan premis berbumbung.
Susulan perkembangan itu, Setiausaha Negara bagi Kesihatan Portugal, Ana Povo dalam satu sidang media memaklumkan bahawa kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti bangunan awam, tempat ibadat, mahupun premis swasta seperti hotel dan pusat beli-belah untuk dijadikan tempat perlindungan sementara bagi golongan rentan.
Gelombang haba yang melanda Eropah ketika ini disifatkan oleh kumpulan saintis World Weather Attribution sebagai antara yang terburuk dalam sejarah, selain menyatakan fenomena ekstrem pada bulan Jun ini adalah “hampir mustahil” berlaku tanpa faktor perubahan iklim dunia.
Sebelum ini, beberapa negara Eropah lain termasuk Jerman, Poland, Republik Czech, Slovakia, Hungary, United Kingdom, Switzerland dan Perancis turut dilaporkan telah memecahkan rekod purata suhu tertinggi masing-masing sepanjang masa. – AFP