
KUALA LUMPUR, 1 Julai– Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei selamat menjalani pembedahan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kiri di Melbourne, Australia.
- Ee Wei akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan dan rehabilitasi.
- Beliau lega pembedahan berjalan lancar dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta ucapan yang diterima.
- BAM akan terus menyediakan sokongan perubatan serta program rehabilitasi sepanjang proses pemulihan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan, prosedur itu berjaya dijalankan semalam susulan kecederaan yang dialami Ee Wei ketika Terbuka Singapura bulan lalu.
Menurut kenyataan BAM, pemain berusia 25 tahun itu kini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan dan rehabilitasi.
“Saya lega kerana pembedahan berjalan dengan lancar dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan serta ucapan yang diberikan sepanjang beberapa minggu lalu. Ia amat bermakna buat saya.
Fokus saya sekarang adalah kepada proses rehabilitasi dan saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk pulih,” kata Ee Wei dalam kenyataan BAM.
Ee Wei turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kata-kata semangat sepanjang beliau menjalani rawatan.
Dalam pada itu, BAM akan terus menyediakan sokongan dari segi rawatan perubatan dan program rehabilitasi sepanjang proses pemulihan pemain berkenaan.