F1 GP Gulf Air Bahrain: Hampir 100,000 tiket terjual, persiapan 100 peratus

Fail BERNAMA

SEPANG, 1 Oktober – Hampir 100,000 tiket Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 terjual menjelang perlumbaan yang berlangsung hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Litar berada pada tahap kesiapsiagaan penuh, hampir keseluruhan kargo logistik telah tiba.
  • Persiapan dipendekkan, hanya dua bulan disediakan berbanding enam hingga tujuh bulan biasa.
  • SIC bekerjasama dengan NADMA dan MetMalaysia untuk memantau kualiti udara susulan keadaan jerebu.
  • Operasi pembenihan awan dijalankan untuk menggalakkan hujan; SIC gunakan ambang IPU sebagai kriteria tangguh atau batal.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, hanya kira-kira 3,000 tiket masih berbaki melibatkan kategori grandstand dan hillstand.

Menurutnya, litar berkenaan kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh dengan hampir keseluruhan kargo logistik sudah tiba.

“Biasanya, kita mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh bulan untuk membuat persiapan, tetapi kali ini kita hanya mempunyai tempoh dua bulan untuk menyediakan litar.

“Kita hampir mencapai 100,000 tiket yang terjual. Ini merupakan satu angka yang tidak pernah kami lihat sebelum ini, terutama dari segi penjualan tiket,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Dalam pada itu, SIC bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memantau kualiti udara susulan keadaan jerebu menjelang perlumbaan.

Operasi pembenihan awan turut dilaksanakan di kawasan sekitar SIC bagi menggalakkan hujan dalam tempoh satu hingga dua hari ini, sekali gus membantu mengurangkan keadaan jerebu di Sepang.

Azhan berkata, SIC mempunyai nilai ambang Indeks Pencemar Udara (IPU) yang akan menjadi antara pertimbangan sekiranya perlumbaan perlu ditangguhkan atau dibatalkan.

“Dengan pembenihan awan, kita berharap hujan dapat mengurangkan jerebu dan tahap IPU tidak tinggi,” katanya.

F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 akan berlangsung mulai esok hingga Ahad ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.