Dakwaan rasis: Mourinho ancam tamatkan karier Prestiani jika bersalah

Jose Mourinho/AFP

LISBON, 2 Mac– Jurulatih SL Benfica, Jose Mourinho memberi amaran bahawa karier pemain tengahnya, Gianluca Prestianni, bersamanya akan berakhir sekiranya didapati bersalah melakukan perbuatan rasis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mourinho mengancam untuk menamatkan karier Prestiani di Benfica jika didapati bersalah melakukan perbuatan rasis.
  • Prestiani menafikan tuduhan; UEFA menyiasat dan menggantungnya sementara, dengan hukuman sekurang-kurangnya 10 perlawanan jika bersalah.
  • Mourinho menegaskan keperluan menghormati presumption of innocence tetapi akan bertindak tegas jika bukti menunjukkan kesalahan.

Bintang Real Madrid, Vinicius Junior, sebelum ini mendakwa Prestianni mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi play-off Liga Juara-Juara pada 17 Februari lalu di Lisbon.

“Saya ulang berkali-kali, jika terbukti pemain saya tidak menghormati prinsip yang saya dan Benfica pegang, maka kariernya bersama saya sudah berakhir,” kata Mourinho kepada pemberita.

Prestianni yang menafikan tuduhan tersebut kini disiasat oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan digantung sementara bagi aksi timbal balik play-off berkenaan.

Sekiranya didapati bersalah, beliau berdepan penggantungan sekurang-kurangnya 10 perlawanan.

Real Madrid mara ke pusingan 16 terbaik selepas menang agregat 3-1.

Mourinho sebelum ini dikritik kerana dilihat seakan-akan menyalahkan Vinicius dengan menyatakan sambutan tarian jaringan pemain Brazil itu mungkin mencetuskan provokasi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prinsip ‘presumption of innocence’ perlu dihormati, sambil menambah bahawa sekiranya pemain itu benar-benar bersalah, beliau tidak lagi akan memandangnya dengan cara yang sama. -AFP