Lewandowski terlepas separuh akhir Copa del Rey, akibat kecederaan mata

Robert Lewandowski/AFP

BARCELONA, 2 Mac– Penyerang FC Barcelona, Robert Lewandowski disahkan terlepas aksi separuh akhir Copa del Rey menentang Atletico Madrid selepas mengalami keretakan pada soket mata kiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lewandowski disahkan mengalami keretakan pada soket mata kiri selepas ujian lanjut.
  • Beliau akan terlepas aksi separuh akhir Copa del Rey menentang Atletico Madrid.
  • Musim ini Lewandowski lebih banyak memanaskan bangku simpanan, kalah saingan kepada Ferran Torres.
  • Beliau masih menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Villarreal baru-baru ini.

Kelab gergasi Catalan itu memaklumkan Lewandowski mengalami kecederaan berkenaan ketika aksi menentang Villarreal CF, dengan ujian lanjut mengesahkan kecederaan tersebut.

“Lewandowski mengalami kecederaan dalam perlawanan terbaru menentang Villarreal. Ujian mendapati terdapat keretakan pada soket mata kiri. Beliau akan terlepas aksi menentang Atletico Madrid,” menurut kenyataan kelab itu.

Barcelona selaku penyandang juara Copa del Rey sebelum ini tewas 0-4 pada aksi separuh akhir pertama kepada skuad kendalian Diego Simeone awal Februari lalu.

Lewandowski, 37 tahun, lebih banyak memanaskan bangku simpanan musim ini apabila sering diketepikan berbanding Ferran Torres.

Bagaimanapun, bekas penyerang FC Bayern Munich itu sempat meledak gol keempat Barcelona ketika kemenangan 4-1 ke atas Villarreal dalam aksi La Liga, Sabtu lalu. -AFP