
KUALA LUMPUR, 19 April – Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bakal dipilih menerusi kongres akan datang perlu tampil dengan hala tuju jelas demi masa depan bola sepak negara.
- Keutamaan kepada pengukuhan kewangan FAM untuk memastikan keberlanjutan dan pengurusan sumber yang lebih baik.
- Fokus pembangunan akar umbi bagi membina bakat tempatan dan sokongan berterusan kepada sistem pembangunan pemain.
- Tingkatkan kualiti kejurulatihan dan manfaatkan sains sukan secara menyeluruh untuk prestasi kompetitif.
- Bentuk barisan Exco yang seimbang gabungan muka baharu dan berpengalaman bagi pengurusan kolektif dan berkesan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan, keutamaan perlu diberikan kepada pengukuhan kewangan, pembangunan akar umbi, peningkatan kualiti kejurulatihan serta pemanfaatan sains sukan secara menyeluruh.
Beliau turut mengingatkan agar calon tidak terus terperangkap dengan isu kepimpinan lalu.
“Jika mana-mana calon presiden untuk mengetengahkan manifesto mereka elakan untuk mencari kesilapan kepimpinan lalu kerana bagi kita masyarakat, penyokong terutamanya ingin melihat apakah hala tuju selepas ini yang sudah kebelakang kita tinggalkan, kita fokus kehadapan dan mungkin itu sebagai intergriti sebagai akauntabiliti” katanya.
Menyentuh mengenai barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, beliau menegaskan kepentingan membentuk barisan yang berfungsi secara kolektif dan seimbang agar setiap aspek pembangunan bola sepak negara dapat digerakkan dengan lebih berkesan.
“Pendapat saya kita gabungkan muka baharu dan muka lama kerana di muka lama pun mempunyai pengalaman yang cukup matang dalam bidang bola sepak malaysia dan gabungan muka baharu ini diperlukan untuk memandu arah kepada arah yang lebih cemerlang ” jelasnya.
Kongres pemilihan kepimpinan baharu FAM dijangka berlangsung sekitar Ogos atau September tahun ini.
Sebelum ini, keseluruhan barisan Exco FAM telah meletakkan jawatan susulan kontroversi pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain kebangsaan, yang membawa kepada hukuman penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula September lalu.