BAM pertahan peraturan baharu asrama, tegas soal disiplin

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei / RTM

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan bahawa peraturan perintah berkurung asrama yang baharu diperkenalkan adalah jauh lebih fleksibel berbanding amalan ketat yang dikenakan terhadap pemain di China.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM sentiasa bertolak ansur terhadap keperluan pemain tetapi tidak akan berkompromi soal disiplin.
  • Peraturan jelas: pulang hujung minggu dibenarkan; keluar harian boleh tetapi mestilah kembali sebelum 10.30 malam.
  • Pemain yang sudah berkahwin diberi kebenaran tinggal di luar asrama; tidak diwajibkan bermalam di kem latihan.
  • Pemain senior perlu memikul tanggungjawab menjadi ikon dan memberi contoh terbaik kepada pemain muda.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, badan induk itu sentiasa bertolak ansur dalam memenuhi keperluan pemain kebangsaan, namun pada masa sama tidak akan berkompromi soal disiplin.

Menurut beliau, peraturan tersebut adalah jelas dan kelonggaran yang diberikan kepada pemain Malaysia adalah sangat munasabah.

“Pada hari Sabtu dan Ahad, kita beri mereka peluang untuk pulang ke rumah. Setiap hari pula, mereka dibenarkan keluar, tetapi mesti kembali ke asrama sebelum pukul 10.30 malam.

“Sekiranya ada urusan luar seperti majlis makan malam atau menerima anugerah, mereka hanya perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan. Inilah peraturan yang kita tetapkan untuk pemain BAM,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis BAM di ibu negara.

Mengulas lanjut, Chong Wei menjelaskan bahawa pemain yang sudah berkahwin turut diberi kebenaran untuk tinggal di luar asrama, berbeza dengan pendekatan di beberapa negara lain yang mewajibkan semua pemain menetap di dalam kem latihan.

“Di China, walaupun anda sudah berkahwin, anda tetap perlu tinggal di dalam (asrama). Di sini, kita ada fleksibiliti dan pemain tidak perlu berada di sini sepenuh masa setiap hari,” tambah beliau.

Dalam pada itu, legenda badminton negara itu turut mengingatkan pemain senior agar memikul tanggungjawab besar dalam menunjukkan contoh yang baik kepada pemain muda.

Beliau menegaskan, pemain senior merupakan ikon bukan sahaja kepada persatuan, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sangat penting untuk pemain senior menunjukkan contoh terbaik kerana generasi muda, sama ada dari peringkat negeri, remaja mahupun pemain sandaran, semuanya memandang tinggi kepada mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh pemain senior akan diikuti oleh pemain muda,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.