
SHAH ALAM, 17 Mei – Di sebalik ketepatan panahan dan kejayaan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, tersimpan kisah pengorbanan serta disiplin tinggi atlet memanah compound negara, Mohamad Syafiq Md Ariffin.
- Menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM.
- Bermula memanah sejak umur 10 tahun, mewakili sekolah, negeri melalui MSSM dan seterusnya pasukan kebangsaan.
- Meraih pingat di SUKMA, Sukan Asia Hangzhou 2023 (gangsa berpasukan) dan pingat emas Sukan SEA Thailand 2025.
- Hadapi cabaran gabungkan pengajian dan latihan; pernah melanjutkan tempoh pengajian; bersiap untuk World Cup Antalya dan temasya Jepun Oktober.
Atlet berusia 26 tahun itu berjaya membuktikan kecemerlangan dalam sukan bukan penghalang untuk terus menimba ilmu apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Berkongsi kisah kejayaannya, anak kelahiran Terengganu itu memberitahu minatnya terhadap sukan memanah bermula seawal usia 10 tahun. Bermula sebagai wakil sekolah rendah, bakatnyaterus berkembang apabila terpilih mewakili negeri dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sebelum melayakkan diri ke pasukan kebangsaan.
Menurutnya, perjalanan dalam sukan memanah bukanlah sesuatu yang mudah, namun minat mendalam serta peluang untuk pergi lebih jauh mendorong untuk terus memberi komitmen penuh dalam bidang tersebut.
“Pada mulanya saya aktif seperti pelajar lain, tetapi apabila nampak potensi untuk mewakili negeri dan seterusnya negara dalam memanah, saya memilih untuk fokus kepada sukan ini,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen ke-104 di UiTM Shah Alam.
Sepanjang penglibatan dalam arena memanah, Mohamad Syafiq telah melakar pelbagai kejayaan membanggakan. Pada penyertaan pertama di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, Syafiq berjaya meraih beberapa pingat gangsa.
Pada edisi seterusnya pula, Syafiq mencatat pencapaian lebih cemerlang dengan merangkul satu pingat emas dan dua pingat perak.
Di peringkat antarabangsa, atlet itu turut mencipta nama apabila membantu skuad negara meraih pingat gangsa berpasukan di Sukan Asia Hangzhou 2023.
Selain itu, pasukan memanah compound negara turut menghadiahkan pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand 2025, selain beberapa lagi pencapaian membanggakan dalam kejohanan antarabangsa lain.
Berkongsi mengenai cabaran sebagai pelajar dan atlet, Mohamad Syafiq mengakui pernah melanjutkan tempoh pengajian sekali akibat komitmen latihan dan pertandingan yang padat.
Namun, baginya, kejayaan menamatkan pengajian adalah pencapaian yang amat bermakna walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Yang penting tamat dan berjaya menamatkan pengajian. Atlet pelajar memang kena kental sikit sebab perlu bijak urus masa antara kelas dan latihan,” ujarnya.
Mengulas mengenai persiapan akan datang, Mohamad Syafiq bakal menyertai World Cup Stage 3 di Antalya, Turki pada awal bulan hadapan, sebelum memberi tumpuan kepada temasya besar di Jepun pada Oktober nanti.