
NAKHON RATCHASIMA, 22 Januari – Penantian kem Malaysia untuk melihat kilauan emas dari kolam renang akhirnya terlerai menerusi Rusdianto Rusmadi yang mengungguli acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki kategori S8 pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di sini hari ini.
- Rusdianto Rusmadi menang emas 50m kuak kupu-kupu lelaki S8 di APG 2025 dengan masa 30.54 saat.
- Beliau mengatasi dua wakil Vietnam, Huynh Anh Khoa (perak) dan Quang Thoal Han (gangsa).
- Kejayaan mengekalkan gelaran selepas APG Kemboja 2023 hasil latihan intensif dan pengorbanan peribadi.
- Rusdianto juga raih perak 100m kuak lentang S7–S8 dan akan berlumba final 100m kuak kupu-kupu S8 esok.
Atlet negara itu meraih pingat emas dengan catatan masa 30.54 saat (s) menewaskan dua wakil Vietnam, Huynh Anh Khoa yang meraih perak (31.26s) dan Quang Thoal Han membawa pulang gangsa (33.41s).
Kejayaan itu pastinya menyuntik semangat rakan-rakannya untuk terus memburu pingat hingga ke hari terakhir pertandingan pada Ahad ini.
Rusdianto, 32, berkata kejayaan mempertahankan pingat emas yang kali pertama dimenangi pada APG Kemboja 2023, menjadi bukti segala penat lelah dan titik peluh sepanjang latihan tidak sia-sia.
Beliau mengakui tempoh persiapan intensif selama kira-kira tiga bulan amat mencabar dan menuntut pengorbanan besar termasuk masa bersama keluarga demi memberi sepenuh tumpuan kepada latihan.
“Saya tahu sekarang ramai atlet baharu dalam pasukan, jadi saya perlu beri sepenuh tumpuan,” katanya sambil menegaskan pingat emas tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan atlet para lain khususnya pelapis baharu.
Terdahulu, Rusdianto turut menyumbang pingat perak menerusi acara 100 meter kuak lentang lelaki S7–S8 selepas mencatat masa 1 minit 14.77 saat.
Pingat emas acara itu dimenangi wakil Vietnam,Vo Huynh Anh Khoa dengan catatan 1:12.94s, manakala gangsa menjadi milik atlet Singapura, Toh Wei Soong (1:18.31s).
Esok, Rusdianto akan beraksi dalam final 100 meter kuak kupu-kupu lelaki S8. – BERNAMA