
KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Selepas membantu Malaysia mempertahankan emas acara berpasukan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, pemain skuasy kebangsaan Aifa Azman kini menyasarkan untuk menembusi kelompok 20 terbaik dunia.
- Aifa akan beraksi di PSA Silicon Valley dan Terbuka Amerika Syarikat untuk fokus memperbaiki ranking dunia.
- Dalam final berpasukan, Aifa membuka dengan kemenangan 3-0; adiknya Aira menyelesaikan kemenangan penentuan 3-0.
- Persiapan mental dan pengurusan tekanan dianggap faktor utama, manakala kemenangan awal penting untuk momentum dan keyakinan pasukan.
Aifa yang kini menduduki ranking ke-21 dunia mahu meneruskan momentum kejayaan itu dengan memberi tumpuan kepada dua kejohanan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Amerika Syarikat.
“Saya akan beraksi di PSA Silicon Valley dan Terbuka Amerika Syarikat, dan sasaran seterusnya adalah untuk menembusi kelompok 20 terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi RTM.
Aifa berkata kejayaan di Sukan Asia turut membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperbaiki ranking dunia.
Dalam aksi final berpasukan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, Aifa membuka saingan Malaysia dengan kemenangan 3-0 sebelum Sivasangari Subramaniam tewas 3-2.
Adiknya, Aira Azman kemudian memastikan emas kekal milik negara selepas meraih kemenangan 3-0 dalam aksi penentuan.
Menurut Aifa, kemenangan awal penting untuk membina momentum dan keyakinan pasukan, manakala persiapan mental menjadi antara faktor utama kejayaan mempertahankan pingat emas berpasukan.
“Saya gembira dengan persembahan kami, terutamanya persiapan mental kerana saya rasa ia lebih kepada mental berbanding fizikal.
“Kita perlu menguruskan banyak tekanan, terutamanya untuk mempertahankan emas pasukan wanita,” katanya.