8,000 peserta sertai larian KLWR 2026, format diubah susulan jerebu

Anara peserta larian KLWRF 2026 di Dataran Merdeka pagi tadi/ RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Seramai 8,000 peserta menyertai Festival Larian Wanita Kuala Lumpur (KLWRF) 2026 di Dataran Merdeka hari ini, dengan acara larian kompetitif digantikan dengan larian santai sejauh 2.6 kilometer susulan jerebu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjur batalkan kategori larian kompetitif 10km dan 15km demi keselamatan peserta.
  • Dana RM9,200 disumbangkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.
  • Program turut adakan aktiviti kecergasan, pemeriksaan kesihatan dan maklumat perimenopaus serta menopaus.
  • Festival sulung anjur Guardian Malaysia bersama SCORE, galak wanita 16 tahun ke atas sertai larian santai tanpa tekanan persaingan.

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata keputusan membatalkan kategori larian kompetitif 10 kilometer (km) dan 15km dibuat untuk keselamatan peserta.

“Atas faktor keselamatan dan kesihatan peserta, kita terpaksa membuat keputusan untuk membatalkan kedua-dua kategori tersebut.

“Dalam masa sama, dana terkumpul bagi larian ini disumbangkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM),” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dana berjumlah RM9,200 yang terkumpul sempena festival itu disumbangkan kepada NCSM.

Selain larian santai, program itu turut merangkumi aktiviti kecergasan dan pemeriksaan kesihatan, termasuk perkongsian maklumat mengenai perimenopaus dan menopaus sempena Hari Menopaus Sedunia.

Festival edisi sulung itu dianjurkan Guardian Malaysia dengan kerjasama SCORE Sports Management bagi menggalakkan penyertaan wanita berusia 16 tahun ke atas dalam aktiviti larian tanpa mengira tahap pengalaman dan kemampuan.

KLWRF 2026 tampil dengan pendekatan berbeza apabila memberi ruang khusus kepada wanita menikmati pengalaman larian bersama rakan dan ahli keluarga wanita dalam suasana santai, selesa dan tanpa tekanan persaingan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.