70 peratus atlet disasar raih podium Sukan SEA 2027

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus atlet negara menamatkan saingan di podium pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur pada September tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembentangan status pelaksanaan Program Podium dan Program Para menunjukkan kemajuan positif berdasarkan penilaian ranking dunia serta pencapaian di peringkat antarabangsa.
  • MSN wujudkan tiga kluster perkampungan sukan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu dan menyeluruh kepada atlet sepanjang temasya.
  • Panel penilaian dan audit prestasi ditubuhkan, dipengerusikan bekas atlet Datuk Marina Chin, bagi pemantauan objektif serta pengelakan konflik kepentingan.

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata, pencapaian itu berdasarkan pembentangan status pelaksanaan program persediaan atlet termasuk Program Podium dan Program Para dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perjalanan Atlet kali kedua pada Jumaat.

Katanya, pembentangan itu turut menjelaskan penilaian prestasi atlet menerusi kedudukan ranking dunia serta pencapaian pada peringkat dunia, Asia dan Sukan SEA.

“Perkara ini telah dibentangkan dan nampaknya kita berada dalam kemajuan yang bagus ke arah sasaran tersebut,” katanya selepas mesyuarat itu di MSN, di sini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil daripada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain kedua-dua Chef de Mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan SEA 2027.

Tambah Jefri, MSN juga akan mewujudkan tiga kluster perkampungan sukan di Sarawak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi menyediakan perkhidmatan sokongan secara bersepadu kepada atlet menjelang temasya itu.

Jelas beliau, perkampungan sukan berkenaan akan menempatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung termasuk ISN bagi memastikan atlet menerima sokongan menyeluruh sepanjang temasya berlangsung.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut memohon kepada pihak penganjur supaya kontinjen negara ditempatkan di hotel yang berasingan dari negara lain bagi memudahkan penyelarasan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada atlet.

“Sebenarnya tiada penambahan kos yang banyak memandangkan penginapan memang disediakan oleh pihak penganjur. Cuma kita minta hotel itu berasingan untuk Malaysia sahaja,” katanya.

Sementara itu, Jefri berkata MSN turut menubuhkan panel penilaian dan audit prestasi bagi memantau pelaksanaan program persediaan atlet secara objektif yang akan dipengerusikan oleh bekas atlet negara Datuk Marina Chin.

Ujarnya, penubuhan panel bebas itu bertujuan mengelakkan konflik kepentingan sekiranya penilaian dibuat oleh MSN sendiri, selain memastikan pemantauan dan audit prestasi program dilakukan secara telus serta berkesan menjelang Sukan SEA 2027.

Lawatan rasmi CDM ke pusat-pusat latihan bagi sukan yang tidak terlibat dalam Sukan Asia 2026 di Nagoya akan bermula selepas Sukan Komanwel bulan depan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung tentang keperluan dan cabaran yang dihadapi setiap persatuan sukan. -Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.