
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pemain boling padang nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji, 39, menyifatkan format baharu Sukan Komanwel Glasgow 2026 agak rumit dan mencabar.
- Hanya juara setiap kumpulan layak secara automatik ke separuh akhir.
- Ketiadaan pusingan suku akhir memaksa setiap perlawanan peringkat kumpulan mesti dimenangi untuk elakkan penyingkiran awal.
- Emma anggap Wales dan India pencabar utama; Izzat berwaspada dengan jaguh Kanada dan sedang rangka strategi untuk mara kedudukan teratas.
Menurut anak kelahiran Sepang, Selangor itu, hanya juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke peringkat separuh akhir.
Katanya, ketiadaan pusingan suku akhir menjadikan setiap perlawanan peringkat kumpulan perlu dimenangi bagi mengelakkan penyingkiran awal.
“Format kali ini agak rumit kerana kami perlu bermain enam hingga tujuh kali dan hanya juara kumpulan yang akan dipilih ke separuh akhir, jadi cabarannya sangat sengit.
“Bagaimanapun, kami tidak melihatnya dari sudut negatif dan memilih untuk fokus menghadapi setiap perlawanan satu demi satu bagi memastikan kemenangan,” katanya.
Mengulas undian kumpulan, Emma akui Wales dan India merupakan antara pencabar utama dalam usahanya memburu gelaran juara kumpulan.

Sementara itu, pemain boling padang lelaki negara, Izzat Shameer Dzulkeple, menyifatkan saingan dalam kumpulannya lebih seimbang, namun mengakui perlu berwaspada dengan kehadiran jaguh dunia dari Kanada.
“Rekod saya di Kejohanan Dunia, saya kalah suku akhir dengan dia pada 2023. Itu adalah pertemuan pertama dan terakhir, sekali saja. Tapi mungkin untuk pertama kali tu saya agak sedikit gementar.
“Berdasarkan prestasi lalu, pihak lawan memang mempunyai kekuatan dari segi pengalaman dan driving. Bagaimanapun, saya rasa draw saya adalah lebih baik,” katanya.
Tambahnya, beliau kini sedang merangka strategi khusus bersama barisan kejurulatihan untuk membalas dendam sekali gus melakar kejutan bagi menjamin kedudukan teratas dalam saingan kumpulan itu nanti.