
BATU PAHAT, 17 November – Bermula dengan panggilan telefon kononnya daripada sebuah hospital berhubung tuntutan insurans, seorang wanita tempatan berusia 54 tahun akhirnya menanggung kerugian RM748,326.50 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam.
- Panggilan kononnya dari hospital disambungkan kepada individu menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.
- Suspek minta kad ATM untuk tujuan siasatan Bank Negara; mangsa ditipu dan tinggalkan kad di gerai nasi lemak.
- Mangsa mendapati beberapa pemindahan dan memasukkan wang ke tiga akaun melalui mesin ATM serta CDM.
- Polis siasat mengikut Seksyen 420; nasihat agar tidak mudah percaya panggilan tidak dikenali dan sahkan terus dengan agensi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa pada akhir Ogos lalu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dirinya daripada Hospital Pakar KPJ Rawang.
Menurutnya, mangsa diberitahu terdapat pihak lain menggunakan namanya bagi membuat tuntutan insurans sebelum panggilan itu disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.
“Suspek kemudian menawarkan bantuan untuk membuat laporan polis secara dalam talian, selain mendakwa kad ATM milik mangsa diperlukan bagi tujuan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Terpengaruh dengan helah berkenaan, mangsa mengikut arahan suspek termasuk meninggalkan kad ATM miliknya di sebuah gerai nasi lemak berhampiran rumahnya pada 3 September lalu,” menurut kenyataan ACP Shahrulanuar pagi ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan akaun bank pada minggu lalu dan mendapati beberapa transaksi pemindahan wang kepada individu tidak dikenali berjumlah RM673,326.50.
Lebih mengejutkan, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM75,000 ke dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) pada 4 November lalu.
Katanya, mangsa hanya mengetahui dirinya menjadi sasaran penipuan selepas menceritakan kejadian itu kepada kakaknya pada 15 November lalu.
Polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, ACP Shahrulanuar menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa mewakili jabatan atau agensi kerajaan, khususnya apabila melibatkan permintaan maklumat peribadi dan urusan kewangan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membuat pengesahan terus dengan agensi berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali dan membuat pengakuan atau dakwaan melibatkan tindakan daripada jabatan atau agensi kerajaan tanpa membuat pengesahan lanjut,” katanya.