
TASEK GELUGOR, 16 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 27,000 botol produk pewarna rambut bernilai RM1.08 juta selepas disyaki menyalahgunakan logo Halal Malaysia serta menggunakan sijil halal milik syarikat lain bagi memperdaya pengguna.
- Serbuan di gudang Kampung Selamat hasil risikan tiga minggu oleh KPDN Pulau Pinang.
- Tiga suspek ditahan: dua pekerja wanita tempatan dan seorang lelaki warga China.
- Sindiket menggunakan rakan pemasaran media sosial, platform e-dagang dan individu berpengaruh untuk mempromosi produk.
- Sijil halal yang dipaparkan didaftarkan atas nama syarikat lain; kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, serbuan dilakukan di sebuah gudang di Kampung Selamat, disini, hasil risikan selama tiga minggu oleh anggota penguat kuasa KPDN Pulau Pinang melalui Cawangan Seberang Perai Utara.
Dalam serbuan tersebut, pihaknya turut menahan dua pekerja wanita tempatan dan seorang lelaki warga China bagi membantu siasatan.
Siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan khidmat rakan pemasaran di media sosial serta beberapa platform e-dagang.
” Produk penjagaan diri yang melibatkan pewarna rambut berkenaan disyaki menggunakan logo Halal Malaysia tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) atau dokumen perakuan halal yang sah.
“Selain itu, pihak syarikat turut didakwa menggunakan khidmat individu berpengaruh bagi meyakinkan pengguna bahawa logo dan sijil halal yang dipaparkan adalah sah.
“Hasil semakan mendapati sijil halal yang dipaparkan sebenarnya didaftarkan atas nama syarikat lain dan bukannya syarikat yang memasarkan produk berkenaan,” katanya pada sidang media di gudang menyimpan produk berkenaan.
S.Jegan berkata, produk terbabit dipercayai diimport dari China sebelum disimpan di gudang berkenaan untuk tujuan penghantaran kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi kira-kira enam bulan lalu dengan hampir 600,000 unit produk dianggarkan sudah terjual pada harga RM40 seunit.
Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) manakala usaha mengesan pemilik syarikat sedang giat dijalankan.