
IPOH, 17 November – Seramai 1,221 penduduk terjejas banjir daripada 445 keluarga masih ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah di Perak setakat pukul 8 pagi ini.
- Larut, Matang dan Selama catat jumlah terjejas tertinggi: 876 orang daripada 342 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.
- Paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah 9.35 meter, melebihi paras amaran 8.68 meter.
- MetMalaysia ramal hujan dan ribut petir di semua daerah Perak pada petang dan malam ini.
- Di Selangor, 1,167 penduduk daripada 313 keluarga masih berlindung di enam PPS di Kuala Selangor.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, Larut, Matang dan Selama mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 876 orang daripada 342 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.
PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, SK Matang, SK Ayer Putih, SK Matang Gelugor, SK Batu Hampar, Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dan Dewan Serbaguna Taman Kaya.
Di Hilir Perak, seramai 137 penduduk daripada 42 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), manakala di Manjung, 117 mangsa daripada 32 keluarga berlindung di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai.
Sementara itu, 22 penduduk daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS SK Kota Bharu di daerah Kampar.
Di Kerian pula, seramai 81 penduduk daripada 26 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Gunung Semanggol yang menempatkan 62 penduduk daripada 20 keluarga dan SK Bukit Merah dengan 19 mangsa daripada enam keluarga.
Penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di SK Bukit Merah turut melibatkan mereka yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di semua daerah di Perak pada petang dan malam ini.
Paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian turut mencatatkan bacaan 9.35 meter, melebihi paras amaran 8.68 meter.
Sementara itu, di Selangor, seramai 1,167 penduduk daripada 313 keluarga masih berlindung di enam PPS di daerah Kuala Selangor setakat pagi ini.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 352 orang, diikuti SK Parit Mahang (347), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (219), KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (113), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (102) dan SRA Batu 8 Ijok (34).
Di Pulau Pinang, satu-satunya PPS yang beroperasi di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kechil, Nibong Tebal ditutup sepenuhnya malam tadi selepas kesemua 34 penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Menurut portal InfoBencana JKM, penutupan PPS itu susulan keadaan banjir yang semakin pulih selepas air surut, keadaan cuaca bertambah baik serta kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa selesai dilaksanakan.
PPS berkenaan dibuka pada 10 malam Ahad lalu bagi menempatkan penduduk daripada 23 keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan termasuk Sungai Duri, Kampung Sethu, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Sungai Kechil dan Jawi.