
KUALA LUMPUR, 9 November – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan e-mel palsu menggunakan nama dan identiti rasmi syarikat berkenaan bagi mengelirukan orang ramai.
- Jangan klik pautan mencurigakan atau kongsi maklumat peribadi, kata laluan atau kod OTP kepada pihak tidak dikenali.
- Sebarang makluman rasmi kelewatan atau gangguan hanya disalurkan melalui SMS kepada penumpang terjejas atau saluran media sosial rasmi KTMB.
- Pembelian tiket hanya sah melalui laman web rasmi, kiosk atau aplikasi KTMB Mobile; KTMB tidak melantik ejen pihak ketiga.
Kenyataan KTMB memaklumkan, e-mel terbabit dihantar menggunakan alamat kitsticketsktmb@gmail.com yang mendakwa perkhidmatan ETS GOLD 9442 mengalami kelewatan selama lima jam pada hari ini atas faktor masalah teknikal.
“KTMB menegaskan e-mel berkenaan adalah PALSU dan sama sekali bukan dikeluarkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan rel berkenaan.
“Pihak terbabit sengaja menyebar pemberitahuan kelewatan tren ETS menggunakan alamat emel percuma yang tidak sah bagi memperdaya penerima,” tegasnya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengklik mana-mana pautan mencurigakan serta tidak berkongsi maklumat peribadi, kata laluan atau kod Pengesahan Sekali Sahaja (OTP) kepada pihak yang tidak dikenali.
“Sebarang makluman rasmi mengenai kelewatan atau gangguan perkhidmatan tren hanya disalurkan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) terus kepada penumpang terjejas atau menerusi saluran media sosial rasmi KTMB.
Pengguna juga boleh mengesahkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
Dalam pada itu, KTMB juga memaklumkan tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga sebagai ejen atau wakil penjualan tiket.
Pembelian tiket hanya sah dilakukan menerusi saluran rasmi iaitu laman web www.ktmb.com.my, kiosk tiket, serta aplikasi KTMB Mobile (KITS STYLE).
“KTMB memandang serius kes penyalahgunaan identiti korporat ini dan menggesa masyarakat agar sentiasa mengamalkan prinsip menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayainya,” tegas kenyataan sama.