Insiden tembakan di Poland: Keselamatan rakyat Malaysia dipantau

Foto AFP

WARSAW, 9 November – Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw sedang memantau rapat situasi keselamatan di Krakow, Poland susulan insiden tembakan yang meragut sekurang-kurangnya enam nyawa pada 7 November lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedutaan menghubungi komuniti Malaysia di Krakow dan menggalakkan pendaftaran maklumat dengan pihak kedutaan.
  • Rakyat Malaysia boleh menghubungi talian konsular +48 22 617 4413 (waktu pejabat) atau +48 660 627 360 (kecemasan); e-mel mwwarsaw@kln.gov.my.
  • Kejadian tembakan di Dataran Pasar Utama Krakow mengorbankan enam orang; suspek ditahan selepas berbalas tembakan, siasatan kemungkinan motivasi ideologi kanan.

Menurut kedutaan itu, pihaknya turut berhubung dengan komuniti Malaysia di Krakow bagi memastikan keselamatan mereka, selain menggalakkan rakyat Malaysia di Poland mendaftarkan maklumat masing-masing dengan pihak kedutaan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Warsaw menerusi talian +48 22 617 4413 pada waktu pejabat atau +48 660 627 360 bagi urusan kecemasan,” menurut kedutaan itu menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu, sebarang pertanyaan juga boleh dikemukakan melalui e-mel mwwarsaw@kln.gov.my.

Menerusi hantaran sama, kedutaan berkenaan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan solidariti Malaysia bersama Poland.

“Ingatan dan ucapan takziah sedalam-dalamnya ditujukan kepada mangsa, keluarga mereka serta rakyat Poland dalam menghadapi tempoh berkabung ini,” menurut hantaran itu.

Dalam kejadian di Dataran Pasar Utama Krakow, seorang lelaki bersenjata dilaporkan melepaskan tembakan ke arah orang ramai, menyebabkan enam individu terbunuh dan beberapa lagi cedera.

Polis Poland turut menemukan tiga mayat di rumah suspek yang dikenal pasti sebagai bapa, ibu dan adik-beradik perempuannya.

Suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan selepas berbalas tembakan dengan polis dan dilaporkan menerima rawatan di hospital.

Pihak berkuasa Poland sedang menyiasat kejadian itu sebagai kesalahan keganasan, dengan siasatan awal turut meneliti kemungkinan pengaruh ideologi pelampau kanan terhadap suspek.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.