Piala FA: JDT benamkan DPMM FC 6-1

Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 9 November – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala FA 2026 / 2027, selepas menewaskan Brunei DPMM FC 6 -1, pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Joao Figueiredo membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi tandukan hasil hantaran Oscar Arribas.
  • Jordan Jordan Murray menyamakan kedudukan pada minit ke-48 untuk DPMM FC.
  • JDT menjaringkan lima gol lagi pada separuh masa kedua termasuk penalti Daniesh Amiruddin pada minit ke-87.
  • Ketua jurulatih Xisco Munoz berkata permainan terbuka lawan beri ruang transisi dan kelebihan dari situasi bola mati, terutama sepakan penjuru.

Kemenangan itu menjadikan JDT mara dengan agregat 8-1.

Harimau Selatan membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi tandukan Joao Figueiredo yang menyempurnakan hantaran Oscar Arribas.

Bagaimanapun, DPMM FC mengejutkan tuan rumah apabila Jordan Jordan Murray menyamakan kedudukan pada minit ke-48 selepas berjaya membolosi penjaga gol JDT, Christian Abad Amat.

Kejutan itu menaikkan semangat Harimau Selatan, untuk menjaringkan lima lagi gol sepanjang separuh masa kedua, termasuk sepakan penalti yang disempurnakan Daniesh Amiruddin pada minit ke 87.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata, taktik permainan terbuka Brunei pada separuh masa kedua, memberi peluang kepada JDT untuk mengasak serangan ke arah lawan.

“Apabila mereka bermain secara terbuka, kami mempunyai ruang untuk melakukan transisi dengan memanfaatkan kepantasan pemain.

“Ancaman menerusi situasi bola mati, khususnya sepakan penjuru menjadi antara kekuatan kami pada perlawanan itu, lebih-lebih lagi mereka memiliki barisan pertahanan yang ampuh,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Munoz turut memuji prestasi pemain tempatan, Daniesh Amiruddin, dan berazam untuk terus mengembangkan bakat pemain muda itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Jamie McAllister berkata, pasukannya memberikan tentangan sengit pada sebahagian besar perlawanan, khususnya dalam tempoh 55 hingga 60 minit pertama.

“Kami memberikan tentangan sengit dalam tempoh 55 hingga 60 minit pertama perlawanan selain bertahan dengan cukup baik.

“Kami juga berjaya mencipta beberapa peluang, namun kami dibolosi dengan gol kedua akibat kegagalan mengambil tindakan dengan yang tepat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.