Banjir : Selangor kenal pasti langkah mitigasi kawal aliran air

Menteri Besar Selangor meninjau keadaan di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam hari ini/Foto Facebook rasmi MB Selangor

SHAH ALAM, 6 November -Taburan hujan sehingga 103 milimeter di Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Puncak Alam, semalam dipercayai antara punca banjir sekitar Bandar Puncak Alam dan Ijok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri mengenal pasti langkah mitigasi segera untuk mengawal aliran air dari kawasan tanah tinggi.
  • Akan disemak semula kelulusan dua projek pembangunan yang dipercayai meningkatkan limpahan air sekitar kawasan terjejas.
  • Pemeriksaan segera dilaksanakan bagi mengenal pasti sama ada pembangunan mempengaruhi aliran sehingga limpahan ke perumahan.
  • Tindakan segera termasuk pembaikan RTB, tindakan terhadap kegiatan haram dan perobohan dua lokasi untuk kolam tadahan.

Kejadian turut mengakibatkan banjir kilat, selain limpahan air di kawasan perumahan berhampiran.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aliran air dari kawasan berbukit di kampus itu turut melimpah ke Hillpark, Taman Seri Alam dan Saujana Utama.

“Susulan kejadian itu, kerajaan negeri sedang mengenal pasti langkah mitigasi segera bagi mengawal aliran air dari kawasan tanah tinggi berkenaan,” katanya yang terdahulu mengadakan mesyuarat bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di UiTM, Kampus Puncak Alam sebelum meninjau kawasan terjejas dan kolam tadahan di kampus berkenaan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan menyemak semula kelulusan dua projek pembangunan melibatkan kawasan seluas kira-kira 20 ekar sekitar Saujana Aman, Puncak Alam susulan banjir yang menjejaskan lebih 1,000 kediaman di kawasan itu, semalam

Kedua-dua projek berkeluasan 2.02 hektar dan 6.07 hektar itu dikenal pasti mempunyai kesan terhadap peningkatan limpahan air di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan segera perlu dilaksana bagi mengenal pasti pembangunan berkenaan mempengaruhi aliran air sehingga menyebabkan limpahan ke kawasan perumahan,”katanya.

Dalam masa sama beliau memaklumkan beberapa faktor lain dikenal pasti sebagai penyumbang kejadian banjir di Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.

Antaranya termasuk vandalisme terhadap ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 yang menyebabkan struktur itu direndahkan daripada spesifikasi asal, selain limpahan air dari Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Sehubungan itu, tindakan segera akan diambil terhadap kegiatan haram di kawasan berkenaan, termasuk kerja perobohan di dua lokasi yang dikenal pasti bagi membolehkan kawasan itu dijadikan kolam tadahan air atau dataran banjir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.