
KLANG, 6 November – Penduduk di daerah Klang, khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai, diminta berwaspada serta membuat persediaan awal bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku lima hari bermula esok.
- Pantau makluman rasmi, simpan dokumen serta barangan berharga di tempat lebih tinggi, alihkan kenderaan dari kawasan berisiko.
- Senarai lokasi berisiko termasuk Persimpangan Bukit Raja, Taman Mutiara Bukit Raja, Taman Melawis dan Kampung Bukit Kapar.
- Amaran paras air laut dicatatkan sehingga 5.2 meter; pantau bacaan paras dan patuhi arahan pihak berkuasa.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, penduduk diingatkan supaya mengelak kawasan berisiko ketika hujan lebat serta memastikan bekalan keperluan kecemasan keluarga mencukupi.
“Pantau perkembangan cuaca dan makluman rasmi pihak berkuasa, simpan dokumen serta barangan berharga di tempat selamat dan lebih tinggi, selain mengalihkan kenderaan ke kawasan yang tidak berisiko dinaiki air,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah mengenal pasti beberapa lokasi berisiko mengalami banjir.
Antaranya Persimpangan Bukit Raja, Taman Mutiara Bukit Raja, Taman Melawis, Kampung Bukit Kapar, Taman Meru Indah, Taman Seri Kerayong, Taman Daya Maju dan Jalan Haji Salleh, Pekan Meru.
Berdasarkan hebahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, fenomena air pasang besar itu dijangka menyebabkan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang meningkat sehingga 5.2 meter, dengan bacaan tertinggi diramal berlaku pada 5.02 pagi Ahad.
Bacaan itu berada dalam kategori paras amaran.
Mengikut petunjuk paras air di Pelabuhan Klang, bacaan antara 5.0 hingga 5.3 meter dikategorikan sebagai paras amaran, manakala 5.4 hingga 5.5 meter sebagai paras bahaya.
Tambah beliau, bagi tempoh dua hari, Skuad Pantas MBDK menerima 83 aduan bencana.
“Dengan 62 kes telah diselesaikan, 16 masih dalam tindakan dan lima lagi membabitkan bantuan khas.
“Jabatan Landskap dan Rekreasi turut menerima 97 aduan berkaitan pokok tumbang yang akan diselesaikan secara berperingkat dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata penduduk yang mengalami kerosakan kenderaan atau harta benda akibat pokok tumbang di bawah seliaan MBDK boleh mengemukakan tuntutan dengan membuat laporan polis sebelum semakan dan tindakan lanjut dilakukan.