
BATU PAHAT, 30 Oktober – Kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah berjaya ditumpaskan Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Sky di Batu Pahat dan Muar, Selasa lalu.
- Tiga warga tempatan ditahan bersama lebih lima kilogram syabu dalam lima bungkusan.
- Dua kereta dirampas; nilai rampasan dianggarkan RM434,400.
- Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintenden Shohaiami Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga warga tempatan ditahan bersama lebih lima kilogram syabu yang disimpan dalam lima bungkusan.
“Mereka yang diberkas terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, selain dua kereta turut dirampas.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM434,400,”katanya.
Jelas beliau lagi, kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta peruntukan berkaitan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Mengulas lanjut, Superintenden Shohaiami berkata, operasi berkenaan dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan tidak berbumbung bersebelahan Parkson Square One, Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.
“Operasi tersebut merupakan hasil usaha berterusan pihak polis, khususnya Pasukan Gerakan Am, dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam,” ujarnya.