
PASIR MAS, 30 Oktober – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 100 kilogram beras dan 100 paket tepung beras yang disyaki diseludup dari Thailand dalam satu operasi di Pengkalan Haram Pok Ngoh Li, Jeram Perdah, di sini, pada Khamis.
- PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan, rampasan bernilai RM730 dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari.
- Anggota rondaan motosikal ternampak lelaki memunggah guni dan kotak; suspek terjun ke perahu lalu melarikan diri ke arah Thailand.
- Tiada tangkapan; semua barang diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan mengikut Seksyen 20.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain menerusi kenyataan memaklumkan, rampasan bernilai RM730 itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Ketika kejadian anggota PGA yang menjalankan rondaan bermotosikal di kawasan berkenaan terserempak dengan seorang lelaki sedang memunggah guni putih dan kotak berwarna coklat dari sebuah perahu ke tebing sungai.
“Lelaki berkenaan kemudian terjun ke dalam perahu sebelum melarikan diri ke arah Thailand sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan di lokasi menemukan empat kampit beras seberat 25 kilogram setiap satu serta lima kotak tepung beras yang mengandungi 20 paket dengan berat 500 gram setiap satu di dalam kotak tersebut.
Tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.