Keganasan terhadap wanita melangkaui penderaan fizikal – Nancy

Datuk Seri Nancy Shukri/ RTM

BUTTERWORTH, 20 Oktober- Keganasan terhadap wanita kini turut merangkumi penderaan ekonomi dan buli siber, selain penderaan fizikal, seksual, mental dan emosi, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Statistik WHO: satu daripada tiga wanita pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual sepanjang hayat.
  • Isu keganasan rumah tangga perlu diberi perhatian serius dan ditangani dengan penglibatan seluruh masyarakat.
  • KPWKM menyediakan program seperti Advokasi Kesejahteraan, Road to EVAW dan PrismaNita untuk sokongan awal dan membina kemandirian.

Menurut beliau, statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan satu daripada tiga wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual sepanjang hayat mereka.

“Keganasan juga boleh berlaku dalam bentuk penderaan ekonomi, contohnya apabila wanita tidak diberikan wang oleh pasangan sehingga terpaksa bekerja dan tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian sendiri. Ini juga antara bentuk penderaan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian program Eliminate Violence Against Women (EVAW) 2026 sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Datuk Seri Nancy berkata isu keganasan rumah tangga perlu diberi perhatian serius dan ditangani dengan penglibatan seluruh anggota masyarakat.

Katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara, manakala Pulau Pinang mencatatkan 228 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Dalam usaha membantu wanita mendapatkan sokongan awal, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan beberapa program antaranya Program Advokasi Kesejahteraan, Program Road to EVAW dan PrismaNita, bagi membantu wanita membina kehidupan berdikari serta memperkukuh keyakinan diri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.