Karnival HPM 2026 Sabah sasar 50,000 pengunjung

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Kira-kira 50,000 orang disasar mengunjungi Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Sabah yang bakal berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival menumpukan memperkukuh ekosistem keusahawanan PMKS dengan tiga objektif: pendedahan pembiayaan, memperkasakan PMKS dan koperasi, galakkan pendigitalan.
  • KUSKOP menyediakan inisiatif untuk membantu usahawan mikro meningkatkan kapasiti perniagaan agar berkembang ke skala lebih besar.
  • Hampir 150 usahawan tempatan akan mempamerkan produk; kejayaan diukur melalui penyertaan, sambutan masyarakat, jualan harian dan padanan perniagaan.
  • Pengunjung boleh menikmati Jualan MADANI hingga 30% potongan, perkhidmatan prakelulusan TEKUN dalam tiga jam, serta pelbagai acara hiburan dan rohani.

Karnival edisi keempat anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) itu bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, inisiatif berkenaan dirangka bagi membantu usahawan mikro tempatan meningkatkan kapasiti perniagaan agar mampu berkembang ke skala kecil dan sederhana.

“Kita ada tiga objektif utama iaitu memberi pendedahan maklumat pembiayaan seluas-luasnya, memperkasakan PMKS dan koperasi, serta menggalakkan usahawan mendepani pendigitalan.

“KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan usahawan kita tidak kekal di tahap mikro, sebaliknya berupaya berkembang ke skala lebih besar,” katanya.

Bagi edisi Sabah, hampir 150 usahawan tempatan akan menyertai karnival itu bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Menurut beliau, kejayaan karnival itu akan diukur berdasarkan penyertaan usahawan, sambutan masyarakat, transaksi jualan harian serta hasil sesi padanan perniagaan.

“Penglibatan usahawan dan sambutan masyarakat menjadi indikator utama, di samping semakan sasaran jualan harian.

“Kita juga menitikberatkan padanan perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa supaya produk usahawan tempatan dapat menembusi pasaran korporat dan rantaian peruncitan utama, seperti stesen minyak Petronas serta Petron,” katanya.

Selain pameran perniagaan, pengunjung berpeluang menikmati potongan harga barangan sehingga 30 peratus menerusi Jualan MADANI.

TEKUN Nasional turut menyediakan kaunter perkhidmatan prakelulusan pembiayaan yang meluluskan permohonan dalam masa hanya tiga jam bagi permohonan dengan dokumen lengkap.

Karnival selama tiga hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara hiburan dan kerohanian, termasuk Malam Gema Rohani bersama kumpulan nasyid Inteam dan qari antarabangsa, selain persembahan artis tempatan, antaranya kumpulan XPDC, Datuk Francis Landong, Velvet Aduk dan Felix Agus, serta sesi ramah mesra bersama ikon budaya Unduk Ngadau Sabah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.