
KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Sebanyak 97 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM10.35 bilion dimeterai sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 termasuk kerjasama bernilai RM3.27 bilion dengan rakan strategik dari China.
- Pembangunan industri baja bersepadu bernilai RM1.5 bilion melibatkan NAFAS dan rakan kongsi antarabangsa.
- Pembangunan industri tuna serta ekosistem pemprosesan makanan laut bersepadu di Labuan.
- Pelaburan bagi industri pemprosesan nanas bernilai RM1 bilion dan baja khusus tanaman nanas bernilai RM100 juta.
- KPKM akan menyelaras dan memantau tindakan susulan bersama agensi serta pihak industri untuk memastikan pelaksanaan projek.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerjasama itu merangkumi pembangunan industri baja bersepadu bernilai RM1.5 bilion, pembangunan industri tuna serta ekosistem pemprosesan makanan laut secara bersepadu di Labuan.
“Sepanjang penganjuran MAHA 2026, sebanyak 97 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai dengan nilai pelaburan berjumlah RM10.35 bilion, termasuk RM3.27 bilion menerusi kerjasama dengan rakan strategik dari China.”
“Antaranya termasuk pembangunan industri baja bersepadu bernilai RM1.5 bilion yang melibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama Guizhou Phosphate Chemical Group Co. Ltd. (GPC) dan Jiangsu Chemical Design Institute Co. Ltd. (CDIJS) dari China, selain pembangunan industri tuna serta ekosistem pemprosesan makanan laut bersepadu di Labuan,” katanya.
Kerjasama berkenaan turut melibatkan industri pemprosesan nanas bernilai RM1 bilion serta pembangunan baja khusus tanaman nanas bernilai RM100 juta.
Datuk Seri Mohamad berkata kerjasama itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemprosesan, memperkukuh rantaian nilai serta membuka akses pasaran antarabangsa bagi produk agromakanan tempatan.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyelaras serta memantau tindakan susulan bersama agensi berkaitan dan pihak industri bagi memastikan komitmen MoU diterjemahkan kepada pelaksanaan projek sebenar.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Gopeng mengenai pencapaian MAHA 2026 serta nilai tambah dan pelaburan susulan yang dijangka direalisasikan hasil MoU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.