Jerebu: Sekolah di KL, Selangor beroperasi seperti biasa esok

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Kuala Lumpur dan Selangor beroperasi seperti biasa esok, 21 Oktober, namun semua aktiviti luar ditangguhkan berikutan keadaan jerebu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Murids digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kesan jerebu.
  • Ibu bapa atau penjaga boleh tidak menghantar anak jika bimbang, tetapi mesti memaklumkan ketidakhadiran kepada pihak sekolah.
  • Pentadbir sekolah perlu memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara dan beri perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.
  • Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah diminta merujuk saluran komunikasi rasmi untuk maklumat sahih serta terkini.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataan berasingan hari ini memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.

“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang akan tahap kesihatan anak untuk hadir ke sekolah berikutan keadaan jerebu boleh memilih untuk tidak menghantar anak mereka.

“Walau bagaimanapun, pihak ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan ketidakhadiran tersebut kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan JPWPKL.

Perkara sama turut dimaklumkan JPNS dalam kenyataan berasingan yang membenarkan ibu bapa atau penjaga tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang tentang kesihatan mereka, dengan syarat pihak sekolah dimaklumkan mengenai ketidakhadiran itu.

Sementara itu, JPNS memaklumkan pentadbir sekolah perlu sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

Kedua-dua jabatan turut meminta ibu bapa, penjaga dan warga sekolah supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta merujuk saluran komunikasi rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini berkaitan keadaan jerebu.

JPWPKL menegaskan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan, manakala JPNS menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.