19 maut, 364 cedera serangan Houthi ke atas lapangan terbang Arab Saudi

Foto Fail AFP

ISTANBUL, 16 Oktober – Seramai 19 orang terkorban manakala 364 lagi cedera dalam siri serangan kumpulan Houthi Yaman yang menyasarkan beberapa lapangan terbang di Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gelombang serangan Houthi didapati semakin meningkat sejak awal bulan, susulan siri serangan yang bermula sejak Julai.
  • Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh disasarkan 20 serangan berasingan; 17 maut, 333 cedera antara 7 hingga 11 Oktober.
  • Serangan ke atas Lapangan Terbang Abha mengakibatkan dua terkorban dan 28 cedera.
  • Sekurang-kurangnya lima lapangan terbang terjejas, menyebabkan kerosakan harta dan gangguan serius terhadap jadual serta trafik udara.

Kenyataan pakatan diketuai Arab Saudi pada Khamis melaporkan, gelombang serangan kumpulan yang disokong Iran itu didapati semakin meningkat sejak awal bulan ini, susulan peningkatan siri serangan yang bermula sejak Julai.

Jurucakap pakatan, Turki al-Maliki memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh telah menjadi sasaran 20 serangan berasingan Houthi sejak awal bulan ini.

“Seramai 17 orang maut dan 333 lagi cedera dalam siri serangan ke atas lapangan terbang di Riyadh itu bagi tempoh antara 7 hingga 11 Oktober,” kata Turki al-Maliki.

Beliau menambah, dua lagi mangsa terkorban manakala 28 orang cedera berikutan serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha yang terletak di wilayah Asir, barat daya Arab Saudi.

Dalam pada itu, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan dalam serangan terbaharu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdullah di wilayah Jazan.

Menurut sumber rasmi Arab Saudi, sekurang-kurangnya lima lapangan terbang negara itu termasuk lapangan terbang utama di Riyadh terjejas akibat serangan berterusan kumpulan Houthi sejak 5 Oktober.

Insiden berkenaan bukan sahaja mengorbankan nyawa dan mencederakan orang awam, malah turut mengakibatkan kerosakan harta benda serta gangguan serius terhadap jadual dan trafik lalu lintas udara di rantau berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.