
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan Malayan Banking Bhd (Maybank) memeterai kerjasama strategik bagi memperluas akses pelanggan Maybank di seluruh ASEAN kepada ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia.
- Gabungan kepakaran penjagaan kesihatan dan rangkaian perbankan serantau bagi memudahkan capaian perkhidmatan kesihatan.
- Memudahkan pelanggan dan keluarga mendapatkan maklumat serta sokongan berkaitan perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan.
- Pelaksanaan inisiatif dilaksanakan berperingkat bermula dengan Kemboja; Indonesia, Filipina dan Singapura dikenal pasti sebagai pasaran utama.
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran MHTC dalam pelancongan penjagaan kesihatan dengan rangkaian serantau Maybank.
Ia bagi memudahkan pelanggan dan keluarga mendapatkan maklumat serta sokongan berkaitan perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Datuk Suriaghandi Suppiah berkata, kerjasama itu membolehkan ekosistem penjagaan kesihatan negara diperkenal kepada lebih ramai pelanggan di rantau ini.
“Bagi kami, kerjasama dengan rakan strategik seperti Maybank membantu mempromosikan jenama penjagaan kesihatan Malaysia kepada khalayak yang lebih luas,
“Di samping meningkatkan kesedaran bahawa Malaysia ialah destinasi pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam kalangan pelanggan dari seluruh ASEAN”, katanya pada majlis Kerjasama strategik antara MHTC dan Maybank bagi memperkukuh Pelancongan Kesihatan , di sini, hari ini.
Tambahnya, kerjasama dengan institusi perbankan itu membantu mempromosikan jenama penjagaan kesihatan Malaysia kepada lebih ramai orang.
Ini sekali gus menjadikan Malaysia destinasi pilihan yang wajar dikunjungi pelanggan dari seluruh ASEAN untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Katanya, inisiatif berkenaan akan dilaksana secara berperingkat, bermula dengan Kemboja, manakala Indonesia, Filipina dan Singapura dikenal pasti sebagai pasaran utama.