22 maut dalam kejadian bumbung sekolah runtuh di Pakistan

Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat/Foto AFP

PESHAWAR, 15 Oktober – Seramai 21 pelajar dan seorang guru maut selepas bumbung sebuah sekolah runtuh di bandar Peshawar, barat laut Pakistan, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hospital melaporkan lebih 30 orang cedera, enam dilaporkan dalam keadaan kritikal.
  • Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyatakan dukacita dan menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa.
  • Kejadian runtuhan sering disebabkan piawaian keselamatan lemah serta penggunaan bahan binaan berkualiti rendah.

Pegawai Hospital Lady Reading di Peshawar, Asim Khan mengesahkan angka korban itu sambil memaklumkan lebih 30 orang cedera, dengan enam daripadanya dipercayai berada dalam keadaan kritikal.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam satu kenyataan melahirkan rasa dukacita mendalam atas kehilangan nyawa dalam tragedi berkenaan.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi kehilangan itu.

Kejadian bangunan dan bumbung runtuh sering berlaku di Pakistan, antaranya disebabkan piawaian keselamatan yang lemah serta penggunaan bahan binaan berkualiti rendah.

Pada Jun lalu, lebih 12 orang kanak-kanak maut selepas bumbung sebuah pusat tuisyen runtuh di Lahore, timur Pakistan.

Sementara itu, pada 2025, seramai 27 orang maut manakala 10 lagi cedera apabila sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan Lyari, Karachi. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.