Bakal graduan UMT raih sijil simulasi ketenteraan antarabangsa

Lt Muda Ezzan menyertai Exercise SUMAN WARRIOR yang disertai lima negara / Foto UMT

KUALA NERUS, 15 Oktober – Bakal graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lt Muda Ezzan Nur Husna Meor Azrimi, menjadi satu-satunya Pegawai Sukarela Askar Wataniah yang menerima sijil latihan simulasi ketenteraan menggunakan Joint Theater Level Simulation-Global Operations (JTLS-GO).

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyertai Exercise SUMAN WARRIOR 2026 di Joint Warfare Centre, Kuantan, Pahang, dari 14 hingga 24 September.
  • Latihan fokus darat di bawah FPDA melibatkan kira-kira 150 peserta dari Malaysia, Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.
  • Latar belakang Elektronik dan Instrumentasi UMT mempercepat pemahaman sistem simulasi serta penggunaan pengekodan dan teknologi dalam latihan.
  • Diberi tanggungjawab mengendalikan anggota New Zealand, memperoleh pendedahan budaya kerja, keyakinan, dan bercita-cita kerjaya kejuruteraan elektronik tentera.

Pejabat Komunikasi Korporat UMT dalam kenyataan memaklumkan, pengiktirafan itu diperoleh menerusi penyertaan Ezzan dalam Exercise SUMAN WARRIOR 2026 yang berlangsung di Joint Warfare Centre, Markas Angkatan Bersama di Kuantan, Pahang, dari 14 hingga 24 September lalu.

Latihan berfokuskan darat di bawah Five Power Defence Arrangements (FPDA) itu melibatkan kira-kira 150 peserta daripada lima negara termasuk Malaysia, Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.

Menurut kenyataan itu, Ezzan yang bakal menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Elektronik dan Instrumentasi) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT berkata, latar belakang akademiknya membantu beliau memahami pengendalian sistem simulasi berkenaan dengan lebih pantas.

“Saya bersyukur kerana ilmu yang dipelajari di UMT, khususnya dalam bidang pengekodan dan teknologi, dapat dimanfaatkan dalam latihan ini.

“Pengalaman tersebut menyedarkan saya bahawa ilmu akademik bukan sekadar untuk peperiksaan atau mendapatkan segulung ijazah, tetapi boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan dan keselamatan negara,” menurut Ezzan dalam kenyataan itu.

Ezzan berharap pencapaiannya dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa. / Foto UMT

Selain mendalami penggunaan teknologi dalam operasi ketenteraan, beliau turut diberi tanggungjawab mengendalikan anggota tentera dari New Zealand.

Pengalaman itu memberinya pendedahan terhadap budaya kerja, pendekatan profesional serta kaedah kerjasama dalam kalangan anggota tentera dari negara berbeza.

“Pada mulanya, saya berasa teruja dan pada masa sama agak gementar kerana diberi peluang menyertai latihan yang melibatkan anggota tentera dari beberapa negara.

“Namun, pengalaman ini banyak mengajar saya untuk lebih yakin, berani mencuba dan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” menurut kenyataan itu.

Ezzan turut berhasrat meneruskan kerjaya sebagai pegawai tentera dalam bidang kejuruteraan elektronik selepas bergraduasi serta meningkatkan kemahiran teknikal berkaitan teknologi pertahanan.

“Saya mahu terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran teknikal dan menyumbang kepakaran dalam penggunaan teknologi pertahanan demi keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

Beliau berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa, khususnya wanita, supaya berani meneroka bidang mencabar dan tidak mengehadkan potensi diri kepada bidang pengajian semata-mata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.