
GUA MUSANG, 11 Oktober – Dua maut, termasuk seorang bayi perempuan manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kampung Paloh 3 di sini petang ini.
- JBPM Kelantan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kemalangan.
- Seorang pemandu tersepit, dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
- Mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan KKM; BBP Gua Musang membersihkan sisa dan tumpahan minyak.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan pada 5.10 petang itu turut mengakibatkan dua daripada tujuh mangsa cedera parah.
Menurut kenyataan itu, kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal.
“Seorang pemandu kereta dilaporkan cedera parah dan tersepit, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Semua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan serta tumpahan minyak.