
KAPIT, 11 Oktober -Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi membaik pulih bumbung dapur Rumah Naga, Nanga Merating di sini menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Kapit di sini.
- Peruntukan itu sebahagian usaha berterusan untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
- Merasmikan jeti besi baharu di Sungai Bena bagi menyediakan pengangkutan sungai lebih selamat dan selesa kepada penduduk.
- Kerjasama antara Ahli Parlimen, ADUN dan Setiausaha Politik penting bagi menyelaraskan pembangunan supaya manfaat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat di luar bandar.
Beliau turut merasmikan jeti besi baharu bernilai RM210,000 di Sungai Bena, Sut yang siap dibina bagi menyediakan kemudahan pengangkutan sungai lebih selamat dan selesa kepada penduduk.
“Pembangunan bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal tetapi juga memastikan kesejahteraan dan keperluan setiap komuniti luar bandar sentiasa diberikan perhatian,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian susulan lawatan ke Rumah Naga sempena Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berlangsung pada 10 dan 11 Okt.
Nanta berkata kerjasama antara Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Setiausaha Politik penting bagi menyelaraskan pembangunan supaya manfaatnya dinikmati semua lapisan masyarakat.
Beliau turut menggalakkan penduduk mengemukakan permohonan bantuan atau cadangan projek pembangunan secara bertulis kepada pejabatnya untuk pertimbangan. – BERNAMA