Pelaksanaan MPT4, pentaksiran lain ditangguhkan – JPNJ

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Oktober – Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) dan pentaksiran lain, akan ditangguhkan serta dijadualkan semula, susulan keadaan jerebu di Johor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang dijadualkan pada 12 Oktober ditangguhkan; tarikh baharu akan dimaklumkan oleh JPNJ.
  • Semua sekolah di Johor ditutup pada 12 Oktober; guru dibenarkan bekerja dari rumah dan PdPR dilaksanakan sepanjang penutupan.
  • JPNJ bersama PPD akan memantau Indeks Pencemar Udara (IPU) dan mengambil tindakan mengikut ketetapan KPM; ibu bapa diminta mengikuti perkembangan.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menerusi kenyataan memaklumkan, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang dijadualkan pada 12 Oktober 2026 turut ditangguhkan sehingga tarikh baharu dimaklumkan.

“Penjadualan semula PKSK bagi calon yang terlibat akan dimaklumkan kemudian berdasarkan ketetapan JPNJ.

“Guru dan pegawai yang terlibat tidak perlu hadir bagi pelaksanaan pentaksiran tersebut. Pihak sekolah dan pusat PKSK hendaklah memaklumkan perubahan ini kepada ibu bapa, penjaga dan calon,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu semua sekolah di seluruh negeri Johor akan ditutup pada 12 Oktober (Isnin) sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

Guru-guru dan kakitangan sekolah turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan, manakala pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan bertugas seperti biasa.

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan ini bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan.

Bagi sekolah berasrama, kebenaran pulang adalah tertakluk kepada keputusan Pengetua berdasarkan penilaian risiko semasa dan pertimbangan aspek keselamatan serta kebajikan murid.

JPNJ bersama PPD dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan dan ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM).

Kenyataan sama turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengikuti perkembangan terkini serta memberikan kerjasama demi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.