
SHAH ALAM, 10 Oktober – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka pangkalan data Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat kebangsaan di bawah Pelan Strategik OKU kementerian itu.
- Penyepaduan data dan profil komuniti palsi serebrum untuk perancangan dan penyampaian perkhidmatan berasaskan data sebenar.
- 1,076 kes kanak-kanak CP didaftarkan, menerima intervensi awal di klinik seluruh negara (2016 hingga 2025).
- Perlu penyelarasan maklumat bersepadu antara kementerian dan perkhidmatan untuk memastikan data tepat serta berkualiti; proses perancangan masih berjalan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu termasuk penyepaduan data dan profil keperluan komuniti palsi serebrum (CP).
Ujar beliau , inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh perancangan dan penyampaian perkhidmatan berdasarkan data sebenar bagi memenuhi keperluan golongan berkenaan.
Menurut rekod KKM, sebanyak 1,076 kes kanak-kanak CP telah didaftarkan serta menerima inisiatif intervensi awal di pelbagai klinik kesihatan di seluruh negara bermula dari 2016 hingga 2025.
Jelasnya, pembangunan pelan strategik berkenaan masih pada peringkat awal, namun penting bagi memastikan keperluan individu dengan CP terus diberi perhatian sepanjang hayat mereka.
“Perkara ini baru dimulakan, namun amat penting kerana bagi saya, penjagaan individu palsi serebrum bukan hanya ketika mereka berada pada peringkat kanak-kanak, tetapi juga apabila mereka melalui alam remaja, khususnya apabila memasuki alam dewasa.”
Menurut Dr. Dzulkefly, individu CP juga perlu diberi peluang menjalani kehidupan seperti individu lain, termasuk membina kerjaya, mendirikan rumah tangga dan menjalin hubungan sosial.
“Ini merupakan satu perjalanan sepanjang hayat. Keterangkuman juga perlu dipastikan sepanjang hayat supaya mereka mendapat peluang untuk menjalani kehidupan seperti individu lain, termasuk membina kerjaya, mendirikan rumah tangga dan menjalin hubungan dengan orang lain.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Simposium Palsi Serebrum 2026 di Shah Alam, Selangor.
Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Rehabilitasi Pediatrik Hospital Tunku Azizah, Dr. Suhaila Omar berkata, pembangunan pangkalan data berkenaan memerlukan penyelarasan maklumat secara bersepadu bagi memastikan data yang dikumpulkan tepat serta berkualiti.
“Proses ini memerlukan penyepaduan data yang menyeluruh. Kita baru memulakan usaha mendapatkan kerjasama daripada pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, serta perkhidmatan lain yang berkaitan.
“Kita perlu merancang kaedah untuk menyelaraskan semua data ini bagi memastikan maklumat yang diperoleh tepat dan berkualiti.
“Usaha perancangan ini sudah bermula dan akan mengambil masa kerana ia merupakan satu proses yang berterusan.”
Simposium dua hari bertemakan “Penjagaan Bersepadu Palsi Serebrum: Memperkukuh Penjagaan Sepanjang Hayat, Keterangkuman dan Potensi” itu berlangsung pada 9 dan 10 Oktober, menghimpunkan pakar kesihatan, ahli terapi, penjaga, keluarga serta wakil komuniti bagi memperkukuh penjagaan CP yang bersepadu dan berterusan sepanjang hayat.