Dua kes dakwaan buli murid disiasat

Logo PDRM / Foto BERNAMA

IPOH, 10 Oktober – Siasatan dakwaan kes buli di Chemor, Ipoh dan kecederaan fizikal membabitkan seorang murid berusia 11 tahun di Pengkalan Hulu kini di bawah tindakan polis susulan laporan yang dibuat berhubung kedua-dua kes.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPD dan pihak sekolah melaksanakan prosedur pengurusan kes dan berjumpa keluarga murid terlibat.
  • Dalam kes Chemor, seorang wanita membuat laporan polis mengenai dakwaan buli dan kecederaan melibatkan dua anaknya pada Ogos dan awal Oktober.
  • Di Pengkalan Hulu, seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa anaknya dicederakan oleh seorang guru pada September.
  • Tindakan lanjut akan bergantung kepada hasil siasatan polis; Exco menyerahkan urusan itu kepada pihak berkuasa dan tidak mengulas lanjut.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah melaksanakan prosedur pengurusan kes, termasuk mengadakan perbincangan dengan keluarga murid terlibat.

Menurut beliau, bagi kes di Chemor, pertemuan antara pihak PPD, sekolah dan keluarga mangsa telah diadakan bagi membincangkan perkara itu.

“Kes itu kini dalam siasatan polis dan pihak berkenaan telah membuat tiga laporan polis.

“Saya tidak perlu mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dikemukakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Perak, Ipoh, pagi tadi.

Pada Ogos dan awal Oktober lalu, seorang wanita membuat laporan polis berhubung dakwaan kes buli serta kecederaan fizikal yang melibatkan dua anaknya di Chemor.

Sementara itu, di Pengkalan Hulu, seorang lelaki turut membuat laporan polis selepas mendakwa anaknya dicederakan seorang guru pada September lalu.

Datuk Khairudin berkata, sebarang tindakan lanjut berhubung kedua-dua kes bergantung pada hasil siasatan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.