
KUALA LUMPUR, 9 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrance Wong akan melancarkan Pelan Induk serta Pelan Tindakan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), hujung tahun ini.
- JS-SEZ gabungkan kekuatan Malaysia dan Singapura; pelaburan tercatat RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026.
- Nexus Sedenak bakal jadi kutub industri utara; potensi RM12 bilion, 45 ribu pekerjaan, termasuk naik taraf jalan dan penghubung pelabuhan.
- Forest City: SFO beri cukai sifar sehingga 20 tahun; MFO membolehkan pengurus dana berlesen urus beberapa keluarga.
Semasa membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar berkata, JS-SEZ menggabungkan kekuatan Malaysia dan Singapura, dengan pelaburan yang direkodkan berjumlah RM132 bilion dari 2025 hingga Jun 2026.
“Nexus Sedenak bakal menjadi kutub baharu industri di utara JS-SEZ, dengan potensi pelaburan RM12 bilion dan 45 ribu pekerjaan.
“Jalan dari persimpangan Sedenak dinaik taraf, disusuli dengan kemudahan yang dapat menghubungkan dengan pelabuhan utama dan jaringan perdagangan serantau,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, melalui pendekatan Queen Bee, Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi mengelola rundingan rentas agensi untuk menarik syarikat peneraju sektor strategik melabur di JS-SEZ.
Di Forest City pula, Skim Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) membolehkan satu keluarga mengurus dana mereka di Malaysia, dengan cukai sifar ke atas pendapatan yang layak sehingga 20 tahun.
“Model Pejabat Pelbagai Keluarga (MFO) akan diperkenalkan, iaitu pengurus dana 70 berlesen boleh menawarkan khidmat kepada beberapa keluarga, termasuk dana SFO yang telah diluluskan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, di utara Semenanjung, perdagangan di koridor Bukit Kayu Hitam-Sadao mencecah RM27 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkasa lapan Zon Ekonomi Khas Sempadan (Special Border Economic Zone).
“Antara projek yang diberi tumpuan ialah pembangunan NCT InnoSphere seluas 122 ekar sebagai hab kenderaan berat, kejuruteraan, penyelenggaraan dan logistik yang melengkapi aktiviti industri di Kulim, Kedah, serta Pulau Pinang,” katanya.
Selain itu, kerangka pembiayaan rentas sempadan turut dibangunkan melalui kerjasama Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC) bagi mempermudah pembiayaan dan urus niaga dalam pelbagai mata wang.
Akses terus dari Pintu Timur Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam ke Inland Container Depot juga akan dibangunkan menerusi pelaburan swasta bagi mempercepat pergerakan kargo.
Menurut Datuk Seri Anwar, Malaysia dan Indonesia pula bersetuju mempercepat pembukaan semula laluan perdagangan Tebedu-Entikong serta terus menaik taraf infrastruktur jalan di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan bagi melancarkan pergerakan dua hala.