Dua maut, seorang parah dalam kemalangan di Perak Tengah

Foto JBPM Perak

PERAK TENGAH 8 Oktober – Dua remaja maut manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kampung Teluk Sareh, di sini, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenal pasti sebagai Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan Adam Danial Abdul Rahman, 18, penunggang serta pembonceng motosikal.
  • JBPM terima panggilan kecemasan pada 4.29 pagi; lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah digerakkan ke lokasi.
  • Pemandu kereta Mohamad Nor Afifi Harun, 31, cedera parah dan dibawa ke Hospital Seri Iskandar; mayat diserahkan kepada polis.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan Adam Danial Abdul Rahman, 18, masing-masing merupakan penunggang serta pembonceng motosikal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad mengesahkan, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada pukul 4.29 pagi.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah kemudian digerakkan ke lokasi.

“Sebaik anggota tiba di lokasi, kereta berkenaan didapati berada di dalam parit dengan pemandu di dalam kenderaan, namun tidak tersepit.

“Penunggang dan pembonceng motosikal turut ditemukan di dalam parit,” katanya.

Kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu kereta, Mohamad Nor Afifi Harun, 31, yang cedera parah dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk mendapatkan rawatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.