
LABUAN, 7 Oktober – Kompleks Kementerian Komunikasi di Labuan perlu dimanfaatkan sebagai saluran penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat setempat, khususnya berkaitan projek dan inisiatif kerajaan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
- Maklumat Belanjawan 2027 perlu disampaikan kepada komuniti Labuan dalam bentuk sesuai mengikut keperluan setempat.
- Pendekatan komunikasi penting bagi memastikan masyarakat menerima maklumat tepat dan memahami projek serta inisiatif yang memberi manfaat.
- Kompleks menempatkan empat agensi utama: Jabatan Penerangan, RTM, Bernama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
- Perasmian kompleks adalah sebahagian usaha kerajaan menjadikan komunikasi dan teknologi digital pemangkin kesejahteraan dan kemajuan sosioekonomi Labuan.
Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, maklumat berkaitan Belanjawan 2027 juga perlu disampaikan kepada komuniti Labuan dalam bentuk yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat selain mengetahui projek dan inisiatif kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada mereka.
“Sebagai contoh, pada 9 Oktober, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan Belanjawan 2027 dan saya berharap dalam masa terdekat, Kompleks Kementerian Komunikasi di Labuan dapat memanfaatkan maklumat berkenaan, termasuk melalui Jabatan Penerangan dan Kementerian Kewangan, untuk disampaikan kepada komuniti dalam bentuk dan kaedah yang sesuai dengan keperluan masyarakat di Labuan.
“Pada masa sama, kita dapat mengenal pasti sekiranya terdapat projek-projek tertentu yang diumumkan dan seterusnya memaklumkannya kepada komuniti yang bakal menerima manfaat daripada projek berkenaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Kementerian Komunikasi Wilayah Persekutuan Labuan hari ini.
Kompleks yang siap pada 2019 dan bernilai RM9.5 juta itu menempatkan empat agensi utama Kementerian Komunikasi iaitu Jabatan Penerangan Malaysia, RTM, Bernama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Perasmian kompleks berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan menjadikan komunikasi dan teknologi digital sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat serta kemajuan sosioekonomi Labuan.