
BATU PAHAT, 4 Oktober – Jenazah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Arsyad , Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira pukul 7.50 malam tadi.
- Jenazah dibawa ke kediaman datuk dan nenek selepas bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail.
- Selesai solat jenazah di kediaman, saudara mara dan rakan menatap jenazah buat kali terakhir; suasana sedih dan pilu mengiringi pengebumian.
- Bapa berharap pembelaan dan sokongan untuk menegakkan keadilan; seorang remaja direman enam hari bagi membantu siasatan.
Jenazah sebelum itu dibawa ke kediaman datuk dan neneknya di Kampung Parit Selamat, petang tadi selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail.
Selesai solat jenazah di kediaman keluarga dan ruang saudara mara serta rakan mangsa menatap buat kali terakhir, jenazah terus dibawa intuk dikebumikan selesai solat Fardhu Maghrib.
Suasana sedih dan pilu mengiringi pengebumian anak tunggal kepada Mohd Khairool Faisal Khyar itu.
Bapa Allahyarhamah Irene Sofiya, Mohd Khairool Faisal yang ditemui selepas selesai pengebumian berharap pembelaan sewajarnya berhubung kematian anak tunggalnya itu.
“Kami berharap mendapat sokongan semua pihak untuk menegakkan keadilan buat anak saya. Itu sahaja yang saya harapkan untuk arwah anak saya. Kami juga berharap semua pihak dapat memberikan bantuan.
“Saya mendapat tahu mengenai kejadian itu semalam (Sabtu) ketika berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah anak saya ialah dua minggu lalu,” katanya.
Hadir sama memberikan penghormatan di Tanah Perkuburan Islam Parit Arsyad ialah Ahli Dewan Negeri Yong Peng, Ling Tian Soon.
Sebelum ini, pelajar perempuan Tingkatan 4, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, pada Sabtu.
Sementara itu Majistret Mustaqim Sukarno mengeluarkan perintah reman enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Batu Pahat ke atas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kematian Irene Sofiya.