10 individu ditahan, vesel nelayan disyaki salah guna lesen

Maritim Malaysia

LUMUT, 4 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C bersama 10 individu kerana disyaki menyalahgunakan syarat lesen untuk aktiviti memancing rekreasi di perairan Perak, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan mendapati vesel disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985; digunakan untuk memancing rekreasi tanpa kebenaran bertulis.
  • Vesel dan semua individu dibawa ke jeti Maritim dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
  • Maritim akan mempergiat rondaan dan penguatkuasaan. Pengusaha dan komuniti nelayan diingatkan guna vesel hanya bagi tujuan dibenarkan. Lapor 05-683 8737 atau 999.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel itu ditahan ketika rondaan penguatkuasaan kira-kira pukul 3.06 petang, pada kedudukan 1.7 batu nautika barat laut Pulau Tukun Perak.

Pemeriksaan mendapati seorang tekong, kru dan lapan pemancing warga tempatan berusia antara 16 hingga 60 tahun berada di atas vesel berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila digunakan bagi tujuan selain daripada yang dilesenkan, termasuk menjalankan aktiviti memancing rekreasi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vesel dan kesemua individu terbabit dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Mohamad Shukri berkata, rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan vesel mematuhi syarat pelesenan serta undang-undang.

Pengusaha dan komuniti nelayan turut diingatkan supaya menggunakan vesel hanya bagi tujuan serta aktiviti yang dibenarkan dalam lesen.

Maklumat berkaitan salah laku atau kecemasan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.