Belanjawan 2027: Inisiatif tangani kos sara hidup antara harapan rakyat Sabah

Foto Fail BERNAMA

KOTA KINABALU, 3 Oktober – Inisiatif menangani kos sara hidup, penambahbaikan perkhidmatan kesihatan serta bantuan kepada golongan memerlukan menjadi antara tumpuan rakyat Sabah menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga barang terkawal bagi membantu peniaga kecil kekalkan jualan berpatutan, kurangkan beban pengguna
  • Penambahbaikan perkhidmatan hospital dan bantuan berterusan kepada warga emas serta golongan kurang mampu
  • Meningkatkan bantuan tunai dan sokongan kepada isi rumah berpendapatan rendah serta penduduk pedalaman, termasuk cadangan kenaikan

Bagi mereka, langkah yang bakal diumumkan perlu memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian, termasuk meningkatkan kuasa beli dan memperluas sokongan kepada golongan rentan serta penduduk di kawasan pedalaman.

Seorang peniaga, Usop Pardi berkata, harga barangan yang lebih terkawal penting bagi membantu peniaga kecil mengekalkan harga jualan pada kadar berpatutan.

“Kita minta kerajaan membantu supaya kami mendapat barangan pada harga yang lebih murah kerana sebagai penjaja, kalau harganya terlalu mahal, kami juga sukar.

“Kalau kami jual mahal, kadang-kadang pelanggan pula marah,” katanya.

Dalam aspek kesihatan, Nora Lampadan berharap perkhidmatan di hospital dapat ditambah baik, selain bantuan kepada warga emas dan golongan kurang berkemampuan terus diperkukuh.

“Kami memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk membantu keperluan warga emas dan juga mereka yang tidak berkemampuan supaya sentiasa diberi perhatian.

“Apabila kami ke hospital, barisan menunggu panjang. Jadi, kami harap ada penambahbaikan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Bagi masyarakat di kawasan pedalaman pula, perhatian terhadap kemudahan asas dan bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah dianggap penting.

Mohd Jani Nurun Abdullah berharap bantuan kepada penduduk berpendapatan rendah, khususnya di kawasan luar bandar, dapat dipertingkatkan.

“Saya harap kerajaan boleh beri pertolongan kepada rakyat di pedalaman, termasuk kampung-kampung yang kurang pendapatan.

“Kalau boleh, tingkatkan bantuan daripada RM100 kepada RM200,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Prof Madya Dr Firdausi Suffian berpandangan Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada ekonomi rakyat.

“Gaji mungkin boleh dinaikkan daripada RM1,700 kepada kadar yang lebih tinggi.

“Dan sudah tentu, antara perkara asas yang selama ini membantu rakyat ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.