
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Golongan muda diseru menguasai bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi global.
- Perkembangan AI dan teknologi mesti dipercepat untuk mengukuhkan ekonomi negara.
- Kemajuan teknologi perlu selari dengan pengukuhan pendidikan, ilmu pengetahuan serta nilai moral dan kemanusiaan.
- Jaga warisan, budaya dan etika agar AI tidak meleburkan nilai moral atau melahirkan manusia bongkak dan zalim.
- Kerajaan mesti beri ruang dan sokongan, belia perlu kuasai ilmu, tingkatkan mutu pendidikan dan celik pelbagai disiplin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi muda merupakan golongan peneroka dan peneraju bidang teknologi baharu, yang bakal memberi kesan langsung terhadap masa depan ekonomi, peluang pekerjaan serta keperluan masa depan.
“Artificial Intelligence atau AI super sememangnya diperlukan. Jika tidak, kita akan ketinggalan. Pembangunan serta kepantasan teknologi ini penting untuk memperkukuh kekuatan ekonomi dan menjadi satu kemestian,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026, di ibu negara, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan pengukuhan pendidikan, ilmu pengetahuan serta nilai moral dan kemanusiaan.
Selain itu beliau menyifatkan bahawa transformasi digital dan penggunaan AI merupakan satu keperluan bagi meningkatkan kekuatan ekonomi negara.
“Tetapi, apa bezanya? Kita tidak boleh lari daripada nilai, warisan, budaya dan kemanusiaan kita. Jangan sampai AI meleburkan nilai moral, etika dan kemanusiaan. Jangan juga penggunaan teknologi digital melahirkan manusia yang bongkak dan zalim,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kerajaan perlu memberi ruang dan sokongan kepada golongan muda untuk meneroka bidang baharu ilmu pengetahuan, selain meningkatkan mutu pendidikan dan penguasaan bahasa.
Generasi muda juga perlu menguasai ilmu secara serius dan membuka minda kepada pelbagai disiplin bagi membentuk generasi baharu yang mampu membawa perubahan kepada negara.