
GEORGE TOWN, 2 Oktober – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap dua lelaki dalam kejadian pergaduhan bersenjata pada Ogos lalu.
- Tertuduh didakwa mencederakan Saw Jing Bing, 25, menggunakan parang di hadapan SJKC Kong Ming Cawangan 2, 25 Ogos jam 2.45 pagi.
- Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan; hukuman sehingga 20 tahun, denda atau sebatan jika sabit.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dan RM10,000 bagi prosiding berasingan; serahan dokumen ditetapkan 6 November.
Tertuduh, K Arul Kevin, 20, V Vishnu, 24, dan P Kuhan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas di Mahkamah Sesyen 1.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Saw Jing Bing, 25, menggunakan sebilah parang yang boleh mendatangkan kecederaan serius.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Ming Cawangan 2 pada 2.45 pagi, 25 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.
Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan serta mengekalkan semua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 2, ketiga-tiga tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki, Lim Xiao Tian, 17.
Mereka didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan parang di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Hakim Irwan Suainbon menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta membenarkan semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 6 November depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan 13 lelaki tempatan termasuk tiga remaja bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan bersenjata di hadapan sebuah sekolah di Air Itam pada Ogos lalu.
Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 33 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang.