Malaysia, Qatar perkukuh usaha diplomatik demi keamanan Asia Barat – PM

Foto FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 September – Malaysia akan terus mendukung usaha diplomatik bersama Qatar dan rakan serantau bagi menjamin keamanan yang berkekalan, khususnya dalam menangani pergolakan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua pihak sepakat perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan usaha damai diperkukuh.
  • Perbincangan merangkumi perkembangan rundingan damai, penderitaan rakyat Palestin di Gaza dan usaha meredakan ketegangan termasuk melibatkan Iran.
  • Anwar menzahirkan harapan hubungan Malaysia-Qatar terus berkembang, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
  • Perdana Menteri menghargai ucapan takziah Amir serta undangan Sheikha Moza untuk Wan Azizah menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan menerusi perbualan telefon bersama Amir Negara Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Beliau menegaskan, kedua-dua pihak senada bahawa perang perlu dihentikan, bantuan kemanusiaan disegera dan segala usaha damai diperkukuh bagi menghentikan penderitaan rakyat.

“Kami turut membincangkan perkembangan terkini rundingan damai dan pergolakan di Asia Barat, khususnya penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta usaha meredakan ketegangan yang melibatkan Iran,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menerusi perbualan itu, Datuk Seri Anwar turut menzahirkan harapan agar hubungan erat Malaysia-Qatar terus berkembang, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menghargai ingatan dan ucapan takziah Sheikh Tamim atas pemergian abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim.

“Baginda juga memohon agar saya sampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas undangan Sheikha Moza kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.