
KUALA LUMPUR, 30 September – NasionalFM buat julung kalinya menganjurkan Fiesta Jiwa Malaysia Next Level di Wisma Radio, Angkasapuri hari ini, sebagai platform menyemarakkan semangat patriotik dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta masyarakat.
- Menggabungkan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sukan Negara melalui aktiviti bersama warga RTM, agensi kerajaan dan sektor swasta.
- Pendekatan NasionalFM mendekatkan radio dengan masyarakat melalui penglibatan bersemuka dan kerjasama rentas bahagian RTM.
- Program menampilkan senamrobik, persembahan hiburan dan 13 reruai perkhidmatan kerajaan untuk memperkenalkan perkhidmatan kepada orang ramai.
Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop berkata, penganjuran itu menggabungkan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sukan Negara menerusi pelbagai aktiviti yang melibatkan warga RTM, agensi kerajaan serta sektor swasta.
Katanya, program berkenaan turut mencerminkan pendekatan NasionalFM untuk mendekatkan radio dengan masyarakat bukan sahaja menerusi siaran, malah melalui penglibatan secara bersemuka.
“Kita berkolaborasi dengan semua jabatan, agensi dan syarikat swasta untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Jiwa Malaysia ini.
“Antara pengisian Fiesta Jiwa Malaysia Next Level ialah senamrobik, persembahan hiburan serta reruai perkhidmatan agensi kerajaan dan sektor swasta,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Pengurus NasionalFM, Salbiah Mohd Sharif berkata, program itu turut menjadi platform memperkenalkan perkhidmatan kerajaan kepada warga RTM.
“Kira-kira 2,000 orang hadir pada sebelah pagi, dengan jumlah dijangka meningkat sehingga tengah hari.
“Senamrobik kita tengok begitu padat sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan berkata, kerjasama rentas bahagian dalam RTM menerusi penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan.
“Wisma Berita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Wisma Radio dalam menganjurkan lebih banyak program, termasuk di stesen-stesen radio RTM di seluruh negara,” katanya.
Sebanyak 13 reruai agensi disediakan di ruangan Wisma Radio.
Antaranya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Lembah Pantai (PKLP) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).