Malaysia kecam pencerobohan terbaharu Masjid Al-Aqsa

Kompleks Wisma Putra, Putrajaya

PUTRAJAYA, 30 September – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan terbaharu ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki lebih 1,000 pendatang Israel serta pegawai kanan rejim itu pada 28 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mengecam pencerobohan Kompleks Masjid Al-Aqsa sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan status quo sejarah serta undang-undang.
  • Pencerobohan diketuai Menteri Keselamatan Negara Israel dan dilindungi tentera, dianggap usaha berterusan untuk mengubah identiti serta ciri-ciri Al-Aqsa dan Baitulmaqdis.
  • Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan pelanggaran tersebut.
  • Malaysia menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan menyokong Negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967.

Menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, pencerobohan yang diketuai Menteri Keselamatan Negara Israel dan dilindungi tentera rejim berkenaan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir Baitulmaqdis Timur dan Al-Haram Al-Sharif.

“Malaysia berpandangan tindakan berulang itu bukan sekadar provokasi terpencil, sebaliknya sebahagian daripada usaha berterusan Israel untuk mengubah identiti dan ciri-ciri Masjid Al-Aqsa serta Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

“Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha berkenaan dan menegaskan kesucian Al-Haram Al-Sharif serta hak beragama jemaah Islam mesti dihormati dan dipelihara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengambil tindakan segera dan konkrit bagi memaksa Israel menghentikan serta-merta pelanggaran yang disifatkan serius, disengajakan dan terang-terangan itu.

“Malaysia turut menegaskan Israel perlu dipertanggungjawabkan atas usaha berterusannya yang didakwa menjejaskan status quo sejarah dan undang-undang di Al-Haram Al-Sharif,” menurut kenyataan.

Dalam pada itu, Malaysia menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan nasib sendiri.

Malaysia turut mengulangi pendirian konsisten bagi penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.